PENUBUHAN MALAYAN UNION 1946
Ketika
Tanah Melayu diperintah Jepun pada tahun 1943, Pejabat Tanah Jajahan British
dan Pejabat India British telah merangka sebuah kerajaan baru untuk Tanah
Melayu dan telah dipersetujui oleh kerajaan British di London. British begitu
yakin akan berjaya menawan Tanah Melayu semula daripada Jepun berikutan
kejayaan Tentera Berikat di Eropah menawan semula beberapa negara daripada
Jerman. Bentuk pemerintahan baru ini telah dirangka tanpa perwakilan dan
pengetahuan orang Melayu kerana British menganggap kedaulatan Tanah Melayu
tidak lagi wujud setelah kalah dalam peperangan. Kerajaan baru ini dikenali
sebagai Malayan Union. British menganggap hak mutlaknya untuk menentukan bentuk
pemerintahan dan kerajaan Tanah Melayu apabila berjaya mengusir Jepun.
Tujuan utama penubuhan Malayan Union ialah untuk memiliki dan menguasai Tanah
Melayu. Tanah Melayu juga ialah sebuah negeri yang kaya dengan sumber ekonomi
daripada sumber bumi. Kedudukan geografi Tanah Melayu pula sangat sesuai
dijadikan sebagai sebuah negeri pengguna dan agen pasaran barangan dagangan
Inggeris di timur. Selain itu, British juga telah menjangkakan akan kehilangan
beberapa buah negeri tanah jajahannya akibat Peperangan Dunia Kedua. Daripada
pengalaman pentadbiran pula, Tanah Melayu dianggap mudah diperintah kerana
orang Melayu dianggap mempunyai budi bahasa yang tinggi, bersikap lemah lembut
dan mudah mengikut telunjuk.
Berita rancangan Inggeris menubuhkan Malayan Union telah tersebar luas dalam
akhbar-akhbar di India dan London. Berita ini juga segera mendapat liputan
akhbar di Singapura dan Pulau Pinang kerana terdapat beberapa kumpulan elit dan
ahli parlimen Inggeris yang tidak menyetujuinya. Ini adalah kerana kemenangan
tentera Inggeris adalah dengan kerjasama Tentera Berikat dan Tanah Melayu bukanlah
Tanah Jajahan Inggeris. Sebelum perang meletus, British telah berjanji untuk
memulangkan kuasa Raja-raja Melayu dibawah Dasar Decentralisasi. Malayan Union
dikhuatiri akan mengakibatkan huru-hara dan akan merugikan kerajaan British.
Untuk mengatasi masalah itu kerajaan British telah menghantar sebuah jawatan
kuasa meminta persetujuan Raja-raja Melayu yang diketuai oleh Sir Harold Mac
Michael sebaik saja Jepun menyerah kalah.
Sir Harold Mac Michael telah tiba di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945. Beliau
telah berjaya memperdaya dan memujuk raja-raja negeri Melayu dengan pelbagai
muslihat dan ancaman. Beliau juga telah mempergunakan nama dan pengaruh Sultan
Ibrahim Johor bagi mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dan kembali ke
London pada 26 Disember 1945. Beliau telah berjaya menyakinkan pihak kerajaan
British mengenai tandatangan yang diperoleh adalah secara sukarela daripada
raja-raja Melayu.
Di dalam perlembagaan Malayan Union, kesemua 9 buah negeri Melayu, Melaka dan
Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh
seorang Gabenor British. Singapura tidak dimasukkan kerana British menganggap
Singapura telah menjadi milik mutlak Inggeris yang diperoleh melalui perjanjian
dengan Sultan Hussin. Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan
Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh
Gabenor . Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam
Melayu tetapi tidak mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf
ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan
Union. Perlembagaan Malayan Union juga mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang
asing melalui lunas ‘Jus Soli’ mengikut kelahiran dan juga kelonggaran diberi
kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.
Sebelum perang meletus, orang Melayu telah terdedah dengan pelbagai pandangan
agar pihak Inggeris tidak memperkecil keupayaan dan hak-hak orang Melayu dalam
pelbagai bidang kehidupan. Masalah pendidikan, ekonomi dan pengambilan pegawai
dan kakitangan kerajaan dianggap tidak seimbang kerana British mengenepikan
orang Melayu. Kerajaan British juga terus membawa masuk sebegitu banyak buruh
asing dan hal ini tidak disenangi oleh cendekiawan Melayu kerana mewujudkan keadaan
yang tidak seimbang dalam pola masyarakat.
Apabila Sir Harold Mac Michael datang dan berjaya mendapat tandatangan
raja-raja Melayu, orang-orang Melayu berasa yakin bahawa segala yang dijanjikan
oleh British sebelum perang untuk memulangkan kuasa raja-raja adalah
pembohongan belaka. Penjelasan British yang menyatakan Malayan Union adalah ke
arah persediaan untuk bekerajaan sendiri tidak dapat diterima oleh orang-orang
Melayu kerana perlembagaan Malayan Union itu sendiri akan melenyapkan maruah
dan ketuanan Melayu.
Dalam suasana kebimbangan dan bercampur marah itu Dato Onn telah diminta
mengetuai orang Melayu kerana beliau pernah menyeru supaya orang Melayu bersatu
padu untuk membaiki nasib di tanah air sendiri. Gagasan fikiran dan
pandangannya di akhbar-akhbar sebelum perang dan cita-citanya untuk
menyatupadukan orang Melayu pernah diucapkan ketika menghadiri Kongres Melayu
di Singapura pada tahun 1940. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang amat
sesuai untuk semua golongan masyarakat dari rakyat biasa hingga kerabat diraja
termasuk berhadapan dengan pegawai-pegawai tertinggi Inggeris kerana latar
belakangnya.
Sehubungan dengan itu, Dato’ Onn yang baru saja berjaya mengamankan pergaduhan
kaum di Batu Pahat segera menyeru perpaduan Melayu melalui akhbar-akhbar untuk
menentang Malayan Union. Beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung
pada 3 Januari 1946. Beliau telah menyeru agar orang Melayu segera berkumpul
dan bersatu padu dan telah mendapat sokongan serta kerjasama yang tidak
berbelah bagi hingga terlangsunglah perjumpaan pemimpin-pemimpin pertubuhan dan
persatuan Melayu dari seluruh negara dalam Kongres Melayu Pertama di Kelab
Sultan Sulaiman pada 1 hingga 4 Mac 1946.
Sebelum itu, seruan Dato’ Onn telah membangkitkan semangat perpaduan Melayu di
beberapa negeri dan berjaya mengadakan rapat-rapat umum membantah penubuhan
Malayan Union. Di Kuala Kangsar, lebih 25,000 orang telah mengadakan perarakan
raksasa membantah Malayan Union pada 15 Januari 1946. Tetapi pada 22 Januari
1946 pihak British tetap meneruskan agendanya mengumumkan penubuhan Malayan
Union yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 1946. Dua hari selepas itu, sekali
lagi Dato’ Onn menyeru melalui akhbar Majlis mencadangkan pertemuan dan
perpaduan Melayu dalm satu kongres disegerakan.
Di merata negara, perarakan-perarakan kecil telah diadakan. Pada 2 Februari
1946 satu perarakan seramai lebih 36,000 orang telah berjaya diadakan di Kota
Bharu Kelantan. Di Batu Pahat sendiri telah diadakan perarakan besar-besaran
dan seramai 18,000 orang Melayu telah keluar berjalan kaki ke Bandar Batu Pahat
mengikut serta menunjuk perasaan membantah Malayan Union pada 10 Februari 1946.
Ikrar membantah penubuhan Malayan dibaca oleh Kiai Salleh. Sepanjang perarakan,
slogan ‘Hidup Melayu’ terus dilaungkan dan bergema di sana sini. Perarakan yang
bermula di Jalan Sultanah berkhir di Padang Pejabat Kerajaan Batu Pahat. Di
sini, Dato’ Onn telah berapi-api memberi ucapan menentang Malayan Union dan
mengecam kerajaan British sebagai tidak berprikemanusiaan merampas hak orang
Melayu..
Di dalam Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946, PEKEMBAR atau UMNO
ditubuhkan tetapi kerajaan British tetap berhasrat mengadakan majlis
pengistiharan Malayan Union dan perlantikan Gabenor Malayan Union, Sir Edward
Gents pada 1 April 1946. Sehari sebelum pengistiharan, Dato’Onn telah
mengadakan Mesyuarat Tergempar PERKEMBAR di Kuala Lumpur untuk bertindak
mengadakan perarakan dan memujuk raja-raja Melayu memulaukan majlis.
Orang-orang Melayu juga diseru supaya berkabung dengan memakai songkok berlilit
putih dan berbaju putih selama seminggu. Hal ini telah berjaya dilakukan dan
pihak British amat terkejut apabila raja-raja dan pembesar Melayu memulaukannya
manakala beribu-ribu orang Melayu berkumpul di hadapan Station Hotel, Stesen
Kereta api Kuala Lumpur membantah penubuhan Malayan Union.
Walau pun begitu, British tetap meneruskan rancangannya kerana berasa yakin
raja-raja dan pembesar Melayu masih menyokong dan menyebelahi kerajaan British.
Jentera kerajaan juga tidak lumpuh kerana majoriti kaum yang berkhidmat dengan
British adalah terdiri daripada kaum pendatang. Gabenor yang dipulaukan terus
menjalankan tugas tetapi akhirnya berhadapan dengan pelbagai kesulitan apabila
raja-raja dan pembesar Melayu serta pegawai-pegawai tinggi Melayu bersikap
berkecuali dan pasif. Beliau mengambil iniasiatif dengan memujuk agar Malayan
Union diterima tetapi beliau sendiri berasa simpati kerana kerajaan British
dianggap telah bertindak begitu jauh tanpa mempedulikan maruah bangsa Melayu.
Pada 11 Mei 1946, sekali lagi pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan
orang-orang Melayu berkumpul menghadiri persidangan di Istana Besar Johor Bahru
dan penubuhan PERKEMBAR telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai satu
persatuan mewakili seluruh orang Melayu. PERKEMBAR atau UMNO selepas itu telah
menyusun secara teratur pelbagai aktiviti membantah Malayan Union hingga
akhirnya Britis terpaksa tunduk mengikut kehendak UMNO merangka perlembagaan
baru mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
telah ditandatangani oleh raja-raja Melayu dengan pihak Inggeris pada 21
Januari 1948 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948. Mulai dari tarikh itu
Malayan Union dibubarkan..